JALAN DOKTOR LATIF KUALA LUMPUR
Sekiranya kita ke Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, kita akan melalui Jalan Doktor Latif....
Siapakah Doktor Latif?
Beliau ialah Tan Sri Dato Dr. Abdul Latif bin Abdul Razak, doktor Melayu pertama di Persekutuan Tanah Melayu.
Dilahirkan pada tahun 1889 di Pasir Penambang, Kuala Selangor, mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sabak Bernam dan menyambung pelajarannya ke Victoria Institution Kuala Lumpur.
Beliau kemudian melanjutkan pelajarannya di Medical School Singapura dan merupakan antara 23 pelajar pertama The straits Settlement dan Federated Malay State Government melanjutkan pelajaran di sana.
Setelah menamatkan pengajian dalam bidang perubatan, beliau ditugaskan dibeberapa hospital seperti di Klang, Kuantan, Pekan dan Hospital Besar Kuala Lumpur (Sekarang HKL)...
Beliau bersara dari bidang perubatan pada tahun 1936 dan meninggal dunia pada 1956. Selepas dari era beliau , lahir beberapa orang lagi tokoh perubatan melayu seperti Tan Sri Dr. Salma Ismail (Wanita Melayu pertama bergelar Doktor Perubatan), Tun Dr. Mahathir Mohammed, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali dan ramai lagi....
JALAN RAJA CHULAN KL
Bagi generasi lama Kuala Lumpur pasti ingat Jalan Weld.....Pada tahun 1982, Jalan Weld di Kuala Lumpur telah ditukar nama kepada Jalan Raja Chulan....
Siapa Raja Chulan?
YTM Raja Chulan ibni Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah anak raja Perak yang menjadi orang Melayu pertama berkhidmat dengan Malay Civil Services.
Ayahnya ialah Almarhum Sultan Abdullah yang dibuang daerah ke Pulau Seychelles kerana terlibat dalam komplot pembunuhan Residen Inggeris di Perak , J.W.W. Birch di Pasir Salak pada 1 November 1875.
Raja Chulan juga merupakan antara orang yang berperanan (bersama dengan Almarhum Sultan Iskandar ibni Sultan Idris, Tuanku Muhammad ibn Yamtuan Antah dan Datuk Abdullah Haji Dahan) dalam pembentukan Rejimen Askar Melayu Diraja yang dibentuk pada tahun 1933.
Baginda mangkat pada 10 April 1933 dan dikebumikan di Makam Diraja Al-Ghufran, Bukit Chandan di Kuala Kangsar.
Selain dari Jalan Raja Chulan, sebuah hotel bertaraf 5 bintang iaitu "The Royale Chulan Kuala Lumpur" di Jalan Conlay dan SMK Raja Chulan di Ipoh, Perak adalah sebagai menghornati beliau....
DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR
Tahukah anda apakah nama DBKL sebelum ini....
1890 - Kuala Lumpur Sanitary Board
1912 - Kuala Lumpur Town Board
1958 - Commissioner of Federal Capital (Pesuruhjaya Ibu Kota)
1972 - Hingga kini : Dewan Bandaraya KL (KL City Hall)
ZETRO HI-PARK
Bagi yang tinggal di kawasan Wangsa Maju, Kuala Lumpur... pasti pernah melalui Seksyen 5 dan pasti terlihat bangunan ini...
Zetro Hi-Park adalah milik Kementerian Pertahanan (Mindef 2), bangunan ini menjadi mercu tanda dari arah Setiawangsa menuju ke arah Wangsa Maju.
Otai lama Wangsa Maju pasti ingat sekitar 90 an dulu bangunan ini pernah menjadi Bangunan Akademi TV3, dimana mereka yang mengikuti pengajian di Akademi ini dijamin akan mendapat pekerjaan di TV3. Namun pada 2003, Pihak TV3 menjual bangunan ini kepada SAL College. Cuma saya tidak pasti bila bangunan ini menjadi milik Zetro Aerospace and Defence Sdn Bhd.
Sekiranya maklumat saya ini ada kesilapan , harap ada yang sudi membetulkannya....
JALAN LOKE YEW KUALA LUMPUR
Siapakah dia disebalik nama Jalan Loke Yew di Kuala Lumpur.... Jalan Loke Yew di Bentong dan Jalan Loke Yew di Tanjong Malim Perak....
Beliau ialah Wong Loke Yew seorang jutawan dan ahli perniagaan yang mengusahakan Lombong Bijih, bidang hartanah dan juga getah.
Beliau juga adalah seorang aktivitis masyarakat yang banyak membantu masyarakat tanpa mengira kaum dalam bidang pendidikan dan lain-lain malah beliau adalah salah seorang pengasas Victorian Institution Kuala Lumpur.
Beliau meninggal dunia pada tahun 1917 di Batu Road Kuala Lumpur...
JALAN RAJA LAUT KUALA LUMPUR
Jalan Raja Laut memang cukup terkenal bagi penghuni KL...
Siapa Raja Laut sebenarnya?
Beliau ialah Raja Muda Laut Ibni Almarhum Sultan Muhammad Shah, lahir pada 1850. Dinamakan Laut kerana baginda dilahirkan ketika bondanya berada di perairan sekitar Lukut.
Dikisahkan baginda kemudianya dijadikan anak angkat oleh Raja Juma’at lalu menjadi saudara tiri kepada putera kandung Raja Juma’at, iaitu Raja Bot (Jalan Raja Bot Kuala Lumpur)
Raja Laut adalah pengasas kepada Kuala Lumpur Sanitary Board sewaktu ia ditubuhkan pada tahun 1890.
Beliau juga adalah penghulu dan magistrate di Kuala Lumpur.
Malah beliau juga adalah orang yang bertanggungjawab menubuhkan Sekolah Melayu pertama di Kuala Lumpur...
Raja Laut dilantik menjadi Raja Muda Selangor pada tahun 1898.
Raja Muda Laut berkahwin dengan Raja Daing Chahaya dan dikurniakan seorang putera, iaitu Raja Alang (Jalan Raja Alang Kuala Lumpur)..
Keluarga diraja ini tinggal di sebuah rumah dikawasan ‘Batu Road’ pada ketika itu, dikebumikan di Tanah Perkuburan ‘Kampong Gonggang’, iaitu nama asal jalan Ampang. Nama Raja Laut diabadikan sebagai nama sebuah jalan yang bersambung dengan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Baginda meninggal dunia pada tahun 1915.
SARAH HUGHES @ GLOBE SILK STORE
Kalau anda ke Jalan Tuanku Abdul, anda pasti jumpa Kedai Kain bernama Sarah Hughes @ Globe.....
Bagi Otai Kuala Lumpur pasti terkenang Kedai Kain Globe Silk Store... itulah Sarah Hughes @ Globe sekarang....
Globe Silk Store menutup perniagaannya pada 2005 setelah beroperasi di Kuala Lumpur sejak 1947 dan diambilalih oleh Sarah Hughes @ Globe...
Bila sebut Globe Silk Store (GSS), saya pasti terkenang arwah Ibu saya Hjh Yang Chik.... GSS sangat sinonim dengan arwah Ibu saya.... kerana di kedai inilah (GSS) arwah ibu saya saban tahun akan membeli baju raya kami adik beradik sekitar 60 an dan 70 an dulu....
Masa tu GSS sangat popular dikalangan penduduk KL....Kini GSS hanya tinggal Kenangan....
LORONG HAJI TAIB, KUALA LUMPUR
Bila sebut Lorong Haji Taib di Kuala Lumpur... semua warga KL tahu kawasan itu kawasan apa.... Namun bukan itu yang hendak dinyatakan di sini... apa yang perlu kita ketahui ialah siapa itu Haji Taib....
Haji Taib dilahirkan di Batusangkar, Sumatera Barat dan berpindah ke Kuala Lumpur pada umur 18 tahun. Beliau memiliki lombong timah, tanah perkebunan dan banyak rumah dan kedai yang kebanyakannya di Jalan Melayu, Kuala Lumpur.
Beliau adalah kenalan rapat kepada Sultan Abdul Samad. Pada akhir abad ke-19, Haji Taib adalah salah satu daripada pedagang terkaya di Kuala Lumpur. Dia mempunyai 10 anak, enam anak lelaki dan empat anak perempuan. Saudaranya, Haji Abbas bin Haji Abdul Samad, juga dianggap sebagai pedagang terkemuka di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.
Hari ini, terdapat sebuah jalan yang dinamakan sempena beliau di tengah-tengah Kuala Lumpur, yang dikenali sebagai 'Lorong Haji Taib'.
JALAN NAKHODA YUSOF, CHERAS, KL
Setiap kali melalu sesuatu jalan itu....saya cukup berminat untuk mengetahui siapakah insan disebalik nama pada sebatang jalan itu....
Dulu masa sekolah bila belajar subjek sejarah, kenapa nama Nakhoda Yusof ini tak pernah timbul...yang timbul nama Yap Ah Loy.....
Sedangkan Nakhoda Yusof adalah orang yang hidup sezaman dengan Yap Ah Loy....
Nakhoda Yusof, yang juga dikenali dengan nama Che Soh, ialah seorang ahli perniagaan yang berasal dari Losong, Kuala Terengganu, yang dikatakan berniaga rempah ratus.
Beliau dikatakan berdagang menggunakan kapal dan sering berlabuh di tapak Masjid Jamek sekarang, iaitu pertemuan antara Sungai Gombak dan Sungai Kelang.
Malah dikatakan oleh waris Nakhoda Yusof , beliau tiba di Kuala Lumpur lebih awal dari Yap Ah Loy....
Sebenarnya ramai lagi tokoh-tokoh sejarah Melayu yang tidak pernah diketengahkan ... ada yang hanya tertulis di sebatang jalan.... nama seperti Abdullah Hukum, Khatib Koyan, Haji Taib (Lorong Hj Taib), Raja Laut , Jalan Maarof di Bangsar dan banyak lagi....
Semoga nama mereka tidak hanya kita lihat di jalan jalan sahaja tanpa kita mengetahui apa sumbangan mereka kepada bangsa dan negara kita....
SIAPA ABDULLAH HUKUM?
Haji Abdullah Hukum bin Abdul Rahim @ Muhammad Rukun berhijrah ke Kuala Lumpur dari Selangor pada 1850.
Beliau telah mendapat kebenaran untuk membuka daerah Pudu dan Bukit Bintang untuk menanam sayur, tebu, pisang, sireh dan bersawah padi. Haji Abdullah merupakan penghulu di Pudu dan Bangsar selama 7 tahun.
Haji Abdullah kemudian menjadi Penghulu Sungai Putih. Pada masa itu, kaum Cina dan India berserta kaum Melayu yang membuka Sungai Putih berada di bawah pemerintahan tradisional naungan Penghulu Haji Abdullah. Oleh kerana Haji Abdullah dapat menyatukan penduduk Sungai Putih nama kawasan tersebut digelar Bangsa iaitu tempat bangsa-bangsa hidup bersama. Nama Bangsar itu berasal dari perkataan Bangsa sebagaimana ditulis di dalam buku Selagi Hayat Dikandung Badan terbitan MPH.
Di dalam catatan Haji Abdullah ada menyatakan Sungai Seputih yang dibukanya telah menjadi "Bangsar Road".
Jika anda naik Putra LRT dan melalui Stesen Abdullah Hukum, ambilah sedikit masa untuk sedekahkan Al-Fatihah kepadanya.
JALAN CHOW KIT
Sebut jalan Chow Kit semua orang tahu dan kenal walaupun dia bukan warga Kuala Lumpur....Malah ada lagu bernama Chow Kit Road yang dinyanyikan oleh Allahyarham Sudirman Hj Arshad....
Namun siapakah individu yang bernama Chow Kit ini...
Chow Kit atau nama sebenarnya ialah Loke Chow Kit, adalah seorang tokoh perniagaan terkemuka di Kuala Lumpur disekitar abad ke 19. Sebelum memiliki perniagaan sendiri ( Chow Kit & Co.) Loke Chow Kit pernah bekerja dengan sebuah Syarikat yang dimiliki oleh Loke Yew (juga terdapat jalan Loke Yew di Kuala Lumpur).
Walaupun sibuk dengan perniagaan, Loke Chow Kit turut terlibat dalam beberapa aktiviti aktiviti sosial dan masyarakat...Atas sumbangan dan jasa beliau kepada masyarakat tanpa mengira bangsa dan keturunan, beliau telah dianugerahkan dengan Jaksa Pendamai (JP) dan merupakan Rakyat Malaysia keturunan Cina yang pertama menerima anugerah tersebut.... Loke Chow Kit juga adalah antara individu terawal yang memiliki talipon peribadi di kediaman beliau.
Beliau meninggal dunia pada 29 Ogos 1918 dikediamannya di Jalan Ampang , Kuala Lumpur akibat radang paru paru...
JALAN YAP KWAN SENG KUALA LUMPUR
Yap Kwan Seng adalah merupakan Kapitan Cina terakhir di Kuala Lumpur dari 1889 hingga 1902. Beliau juga adalah pengasas Tung Shin Hospital pada 1881 yang ketika itu terletak di Sultan Street Kuala Lumpur. Beliau meninggal dunia pada tahun1902.
JALAN MAAROF, BANGSAR KL
Bagi penduduk Kuala Lumpur, terutama di Bangsar dan Lembah Pantai, mereka cukup sinonim dengan nama Jalan Maarof, bermula di Dataran Maybank menuju ke pusat beli beli Bangsar.
Siapakah Maarof sebenarnya hinggakan namanya cukup gah untuk diabadikan di antara laluan utama yang menjadi laluan beribu pengguna setiap hari. Allahyarham sebenarnya ada kisah tersendiri yang jarang diperkatakan.
Orang kenal dengan seniman agung Allahyarham Datuk Mustapha Maarof, tapi tak ramai yang tahu atau kenal dengan ayahnya, Allahyarham Maarof Zakaria...
Maarof Zakaria ialah seorang peguam dan pengasas Bank Kebangsaan Melayu (Malay National Bank) pada tahun 1947.
Namun tragedi sedih berlaku, selepas 6 bulan beroperasi, beliau telah ditemui mati tergantung disebatang pokok di Batu 13 Jalan Kuala Lumpur-Bentong.
Peristiwa pembunuhan pegawai bank ini hampir menyamai pembunuhan pegawai Bank Bumiputera Finance di Hong Kong , Abdul Jalil Ibrahim yang akhirnya membongkar Skandal BMF.
Bagi mengenang jasa beliau, sebatang jalan di Bangsar telah dinamakan Jalan Maarof.
Hj Zulheimy Maamor
Last Update:
14/12/2024: 2.05 p.m
No comments:
Post a Comment